Kupu-kupu adalah sejenis serangga terbang daripada order Lepidoptera, sama seperti rama-rama. Kebanyakan kupu-kupu mempunyai kepak dengan warna yang
terang dan menarik. Kupu-kupu terdiri daripada kupu-kupu sejati (superfamili Papilionoidea), skipper
(superfamili Hesperioidea) dan kupu-kupu
rerama (superfamili Hedyloidea). Semua famili yang lain dalam Lepidoptera dipanggil rama-rama. Fosil kupu-kupu yang terawal datang dari pertengahan
zaman Eosen, iaitu 40–50 juta tahun dahulu.
Kitaran Hidup Kupu-kupu
Ramai
yang berpendapat bahawa kupu-kupu mempunyai jangka hayat yang amat singkat.
Namun begitu, kupu-kupu dewasa mampu hidup selama seminggu mahupun hampir
setahun bergantung pada spesiesnya. Kebanyakan spesies melalui peringkat larva
yang agak lama, dan ada yang mampu menjadi dorman ketika dalam peringkat pupa atau telur agar dapat
mengharungi musim sejuk. Kupu-kupu boleh bertelur sekali atau banyak kali
setiap tahun. Bilangan keturunan setahun berbeza-beza atas pengaruh iklim, yang
mana kupu-kupu yang tinggal di kawasan tropika mampu bertelur lebih daripada
sekali dalam masa setahun. Seperti serangga holometabolisme lain, kitaran
hidup kupu-kupu terdiri daripada
empat peringkat, telur, larva, pupa dan dewasa.
Peringkat 1: Telur Kupu-kupu
Telur
kupu-kupu dilindungi oleh kulit berabung keras yang dipanggil korion ditutupi dengan salutan lilin
yang melindungi telur daripada terjemur sebelum larva sempat berkembang
sepenuhnya. Setiap telur mengandungi liang-liang berbentuk corong
yang halus di satu hujungnya, iaitu mikropil
yang bertujuan membolehkan kemasukan sperma untuk mensenyawakan telur. Setiap
kupu-kupu yang berlainan spesis mempunyai saiz telur yang berbeza, namun semua
telur kupu-kupu berbentuk sfera mahupun oval.
Telur
kupu-kupu dilekatkan pada daun dengan bahan perekat khas yang cepat mengeras.
Apabila mengeras, bahan itu mengecut dan mengubah bentuk telur. Perekat ini
mudah dilihat membentuk bahan meniskus yang mengelilingi tapak setiap telur.
Perekat ini jugalah yang dihasilkan oleh pupa untuk mengikat seta-seta
kremaster. Perekat ini bersifat keras sehingga lapik sutera yang melekatkan
seta-seta sukar dipisahkan.
Telur
kupu-kupu sentiasa diletakkan di atas tumbuhan. Setiap spesies kupu-kupu
mempunyai julat tumbuhan perumah yang sendiri, baik yang hanya satu spesis
mahupun pelbagai spesis.
Kebanyakkan
kupu-kupu melalui peringkat telur selama beberapa minggu, tetapi telur yang
keluar tidak mengambil masa yang lama sebelum musim sejuk. Terutamanya di
kawasan beriklim sederhana, perlu melalui peringkat diapaus (rehat) dan hanya menetas pada musim bunga. Di samping itu,
terdapat juga spesis kupu-kupu berlainan yang boleh bertelur pada musim bunga
supaya telur boleh menetas pada musim panas.
Peringkat 2: Beluncas (Larva)
Larva
kupu-kupu, iaitu beluncas, memakan daun tumbuhan dan menghabiskan seluruh
masanya sebagai beluncas untuk mencari makanan. Kebanyakan beluncas adalah maun,
tetapi ada beberapa spesis seperti Spalgis
epius dan Liphyra
brassolis yang memakan serangga.
Sesetengah
larva, terutamanya yang tergolong dalam Lycaenidae, menjalin perhubungan kesalingan dengan semut. Beluncas berhubung dengan semut dengan
menggunakan getaran yang dipancarkan melalui substrat di samping merembeskan
isyarat kimia. Semut sedikit sebanyak melindungi larva ini; maka, larva
menolong semut mengumpulkan rembesan madu.
Beluncas
membesar melalui serantaian peringkat yang dipanggil instar. Menjelang akhir
setiap instar, larva menjalani proses yang dipanggil apolisis, yang mana kulit
ari, iaitu lapisan luaran
keras yang diperbuat daripada campuran kitin dan protein-protein khusus, dikeluarkan dari epidermis yang
lembut di bawahnya, maka epidermis membentuk kulit ari yang baru di bawah. Di
akhir setiap instar, larva itu bersalin kulit, maka kulit baru berkembang lalu mengeras dan
menghasilkan pigmen dengan cepat. Proses menyalin kulit ini boleh mengambil
masa berhari-hari. Corak kepak kupu-kupu mula berkembang pada tubuh beluncas
menjelang instar yang terakhir.
Beluncas
kupu-kupu mempunyai tiga pasang kaki kekal pada segmen toraks dan tidak lebih
enam pasang prokaki yang
tumbuh pada segmen abdomen. Pada prokaki ini ada gegelang cangkuk halus iaitu krusye yang membantu beluncas
menggenggam substrat.
Sesetengah
beluncas mampu mengembungkan sesebahagian kepalanya supaya mirip ular sebagai
langkah pertahanan. Ada juga yang dilengkapi dengan mata palsu supaya lebih
berkesan. Tumbuhan perumah selalunya mengandungi bahan toksik di dalamnya yang
dapat diasingkan oleh beluncas untuk disimpan sampai peringkat dewasa supaya
tidak dimakan oleh burung dan pemangsa-pemangsa yang lain. Bahan-bahan toksik dalam
tumbuhan sering dikembangkan khusus untuk melindungi tumbuhan daripada dimakan
oleh serangga. Bagaimanapun, serangga berjaya mengembangkan langkah balas atau
memanfaatkan toksin-toksin ini untuk kemandirian dirinya. "Perlumbaan
senjata" ini telah mencetuskan evolusi bersama sesama serangga dan
tumbuhan perumahnya.
Peringkat 3: Pupa
Apabila
beluncas membesar, hormon-hormon seperti hormon ptotorasikotropik (PTTH) akan
terhasil dan keluar dari otak untuk memulakan proses pempupaan. Ketika
ini, larva akan berhenti makan dan mula mencari tempat yang sesuai untuk
bertukar menjadi pupa, lazimnya di bawah daun.
Larva
itu bertukar menjadi pupa atau kepompong dengan bergantung pada substrat dan
bersalin kulit buat kali terakhir. Dalam kepompong, beluncas merembeskan
enzim-enzim yang "mencernakan" hampir seluruh tubuhnya menjadi benda
lekit kecuali sel-sel yang penting untuk membentuk tubuh kupu-kupu serta
neuron-neuron yang menyimpan kenangannya sebagai beluncas. Kepompong
ini lazimnya tidak mampu bergerak, namun sesetengah spesies boleh
menggoncangkan segmen-segmen abdomennya atau membuat bunyi untuk menakutkan
pemangsa.
Transformasi
pupa menjadi kupu-kupu secara metamorfosis amat mengagumkan manusia. Untuk
menukar bentuk kepak kecil yang kelihatan di luar pupa kepada kepak besar yang
sesuai untuk penerbangan, kepak pupa menjalani mitosis yang pantas sambil
menyerap nutrien yang amat banyak. Jika satu kepak dicabut dari awal lagi, tiga
kepak yang tinggal akan tumbuh dengan lebih besar. Dalam pupa, kepak
membentuk struktur yang menjadi mampat dari hujung hingga pangkal, dan dilipat
dari hujung proksimal hingga distal apabila tumbuh. Ini bertujuan supaya ia
boleh dibuka dengan cepat hingga mencapai saiz dewasa sepenuhnya.
Sempadan-sempadan yang kelihatan pada corak warna dewasa adalah disebabkan oleh
perubahan dalam ekspresi faktor-faktor transkripsi yang tertentu pada awal peringkat
pupa.
Peringkat 4: Dewasa ( imago )
Ia adalah spesis kupu-kupu peringkat dewasa yang
cukup matang, reproduktif dan boleh bergerak dipanggil imago. Kupu-kupu dewasa mempunyai empat helai kepak yang
disaluti dengan sisik-sisik yang halus. Kepak depan dan kepak belakang tidak
bercantum agar kupu-kupu boleh terbang dengan cantik. Kupu-kupu dewasa
mempunyai enam batang kaki, tetapi bagi spesies-spesies Nymphalidae, kaki
depannya amat kecil. Setelah keluar dari kepompong, kupu-kupu tidak boleh
terbang sehingga kepaknya dibuka. Kupu-kupu yang baru keluar perlu mengambil masa
untuk mengembangkan kepaknya sambil menjemurkan kepaknya. Jangka masa yang di
ambil untuk tujuan ini adalah mengikut keadaan kupu-kupu tersebut. Pada ketika
inilah ia amat terdedah kepada pemangsa.
Kebanyakan kupu-kupu mengumuhkan bendalir pewarna lebihan
selepas keluar dari kepompong, sama ada yang putih, merah mahupun jingga. Peringkat kupu – kupu dewasa juga
merupakan peringkat di mana mereka bermigrasi atau mengkoloni sesuatu habitat
tertentu.
RUJUKAN
Buku
Maryati, M. Nordin, W. (1999). Kupu-kupu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka
Laman Web
Jurnal Online